Halloween Costume ideas 2015
MPS

Sepuluh Dongengan Bahasa dan Bangsa Melayu





Suatu teori yang sudah beberapa kali dilontarkan oleh pemimpin besar-besar UMNO ialah teori bahasa dan kemajuan bangsa yang nampaknya begitu mudah disokong bulat-bulat oleh ahli-ahli UMNO dan sebahagian oleh orang UMNO. Bagi ahli-ahli UMNO teori apa pun daripada pemimpin besar-besarnya semuanya teori besar-besar belaka.

Teori bahasa dan kemajuan bangsa pemimpin besar-besar UMNO dianggap oleh ahli-ahli UMNO sebagai lebih hebat daripada teori sesiapa pun di bawah dan di atas angin, di empat penjuru alam ini. Sebutlah sahaja kepadanya para sarjana bahasa dari negara maju (Barat) hidup atau mati seperti Wittgenstein, Wolf, Sapir, Chomsky, Husserl atau Derrida, apatah lagi sarjana bahasa dari bangsanya sendiri yang sudah meninggal seperti Za’aba, Sutan Takdir dan apatah lagi seseorang sarjana di Alam Melayu ini yang masih hidup, tetapi hebat lagi teori daripada pemimpin besar-besar UMNO itu.

Satu daripada teori bahasa pemimpin besar UMNO ialah yang menjadi slogan “maju bangsa majulah bahasa”, “maju negara majulah bahasa”, “negara maju bahasa pun maju” dan sebagainya. Tiada suara dalam UMNO yang menyanggah slogan-slogan ini. Walaupun memang ada bisikan hati kecil yang sangsi dengan slogan-slogan ini tetapi jiwa hambanya sering membisik “pemimpin kita tahu segala-galanya. Takkanlah dia nak merosakkan bangsanya sendiri”. Habis cerita!

Negara-negara maju (Barat) sering menjadi bahan momokan pemimpin besar UMNO seperti sebagai negara yang tidak bermoral, negara yang dengki dengan kemajuan Negara Membangun atau Negara Ketiga, negara yang tidak harus menjadi model kemajuan atau pembangunan kita. Tetapi tiadalah keinsafan para pemimpin bawahan UMNO itu yang menyedari atau ingin disedari hakikatnya bahawa segala dasar tajaan pemimpin besar-besarnya itu berasaskan kepada impian menjadi negara maju yang bukan dalam acuan sendiri, tetapi acuan negara yang sudah maju itu juga!

Para ahli UMNO dan sebahagian orang UMNO itu nampaknya tidak dapat/mahu disedari dengan sejarah tamadun-tamadun bangsa yang lampau yang sebenar, hakikat sejarah tamadun negara maju sekarang dan hukum-hakam tamadun daripada ilmu aqli atau naqli. Entahlah mereka sedar dan insaf atau tidaknya betapa di sana ada ilmu naqli yang menegaskan hukum hubungan bahasa dengan tamadun sendiri, “Tidaklah Aku menurunkan seorang rasul pun melainkan daripada kalangan kamu sendiri supaya memudahkan kamu memahami hikmahKu” (terjemahan sebahagian daripada Ayat dalam Surah Ibrahim). Tidak juga dihiraukan betapa tamadun-tamadun besar yang lepas setiap satunya membina tamadunnya menerusi bahasa mereka sendiri, walaupun mereka dicengkam oleh bahasa-bahasa ilmu yang lain pada masa mereka membina tamadunnya sendiri itu.

Tamadun Islam dibina menerusi bahasa Arab walaupun semua ilmu aqli bertaraf dunia pada masa itu bukan dalam bahasa Arab. Entahlah mereka tahu dan sedar atau tidaknya bahawa tamadun negara-negara maju di Eropah itu pada mulanya dibina menerusi bahasa Latin/Rumi (bahasa sebuah negara maju sekarang iaitu Itali(a) dan menjadi bahasa rasmi sebuah agama samawi yang kini menjadi sebuah mazhab agama Kristian Eropah, Kristian Katholik) walaupun semua ilmu aqli bertaraf dunia pada masa itu ialah bahasa Arab, malah Arab menjadi penjajahnya. Langkah setiap semua negara Eropah itu memakai bahasa Latin/Rumi dalam pembangunannya ini telah berjaya meningkatkan kemajuan dan tamadun bangsa peribumi berbahasa Latin/Rumi itu iaitu Itali(a) sahaja. Yang lainnya mengekorinya sahaja.

Menyedari hakikat peranan positif bahasa masing-masing, maka negara-negara di Eropah yang lain pun berusaha membangunkan negara-bangsanya menerusi bahasa nasional masing-masing dan hampir semuanya berjaya menjadi negara maju sekarang. Tidak ada negara Barat ini pada bila-bila masa dalam sejarah pembangunannya yang menjalan dasar pendidikan yang mengutamakan bahasa S & T semasa (bukan bahasa nasionalnya).

Negara-negara Barat ini tidak pernah, dalam sejarah pembangunannya, mewujudkan sistem pendidikan di dalam aliran bahasa bukan bahasa nasionalnya di peringkat sekolah hingga ke peringkat universiti. Kita pernah berbangga dengan “Dasar Pandang Ke Timur” (iaitu Jepun, sebagai contoh sebuah negara maju bukan Eropah) tetapi ahli dan orang UMNO tidak pernah mahu mengambil iktibar daripada cara kehidupan bangsa Jepun dengan bahasanya dan kedudukan bahasa Jepun dalam sistem pendidikannya dan pembangunannya. Kita hanya digula-gula dan dilambung khayal dengan kekayaannya segi ekonomi, perdagangan, kadang-kadang segi teknologinya dan jarang sekali segi sainsnya. Berlainan pula apabila imbauan demi imbauan pemimpin besar-besar UMNO supaya kita maju seperti negara-negara Barat. Kita digambarkan negara-negara maju di Barat itu mencapai taraf kemajuan seperti yang kita idami itu semuanya kerana berbahasa Inggeris sahaja, sedangkan hakikatnya hanya Inggeris sahaja yang demikian.

Malah mereka berulang kali jugalah mencelarukan orientasi rakyat tentang bahasa dengan membuat pernyataan-pernyataan yang sengaja bertujuan mengelirukan sehingga mengimplikasikan seolah-olah semua negara maju sekarang ini menyedari kesilapannya kerana tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pembangunannya, bahasa pendidikan anak bangsanya. Dasar pembanguan negara menerusi budaya berbahasa Inggeris disifati dan dipercayai sebagai dasar yang memungkinkan berlakunya lompatan kanggaru untuk menyaingi negara-negara lain yang sedang atau sudah maju. Pendeknya sudah hampir 20 tahun para pemimpin besar-besar UMNO mengajar rakyat jelatanya supaya mempercayai beberapa dongengan bagi tujuan menjayakan hasratnya untuk mengInggeriskan Malaysia ini kerana semata-mata kepercayaan karut mereka kepada kebenarannya akan dongengan itu. Setengah daripada dongengan ini memanglah karyanya sendiri dan yang lainnya karya ahli falsafah bahasa dan bestari di negara maju itu.

Berikut ialah siri dongengan itu yang diperturunkan di sini yang tidak semestinya mengikut tertib kepentingan, kehebatan atau keseronokan jalan ceritanya:


Dongengan Pertama: Bahasa Inggeris ialah bahasa sains dan teknologi (S&T).


Dongengan ini memang mudah sangat diterima sebagai kebenaran oleh rakyat jelata yang pernah dijajah oleh bangsa berbahasa Inggeris seperti negara Malaysia. Malah semua negara membangun atau Negara Ketiga memang rata-rata para pemimpin dan rakyatnya benar-benar percaya kepada dongengan sebegini, cuma bahasa Inggeris digantikan dengan satu daripada bahasa negara maju yang pernah menjadi penjajahnya sahaja.

Hakikat sebenarnya setiap bahasa nasional negara maju kini adalah bahasa S & T yang lebih awal daripada bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris menjadi satu daripada bahasa S & T hanya mulai kurun ke-18M sahaja, iaitu yang lebih lewat daripada bahasa negara maju lain seperti Perancis, Jerman, dan Itali(a) (Latin/Rumi). Ternyata pembangunan menerusi bahasa nasional negara maju itulah (dahulunya tidak maju) yang menjadi faktor penting menyebabkan negara tersebut maju. Hakikatnya belum ada sebuah negara Ketiga yang mencapai kemerdekaannya dan membangun negaranya menerusi bahasa penjajahnya atau bahasa asing dan berjaya mengubah statusnya menjadi negara maju terutamanya yang maju dalam S & T-nya sendiri.

Bahasa Melayu pun semakin menjadi bahasa sains kerana dasar pendidikan kita selama ini memang seperti dasar pendidikan di negara-negara maju itu. Cuma mungkin sekali para pemimpin besar-besar UMNO tidak mengetahuinya dan tidak mahu mengetahuinya kerana sebok dengan agenda kekayaan wang-ringgit masa terdekat. Bahasa Melayu semakin hampir menjadi bahasa sains kerana kini sudah ada ribuan tesis Sarjana Sains dan Doktor Falsafah dalam bahasa Melayu serta ratusan perkataan Melayu yang terangkat atau diangkat menjadi istilah sains asli (bukan terjemahan) yang perlu diketahui oleh para pelajar sains berkenaan seluruh dunia. Matan daripada tesis-tesis dalam bahasa Melayu itu hampir semuanya sudah disebar ke seluruh dunia menerusi tulisan dalam jurnal dan pembentangan makalah di seminar dan sebagainya sehingga tesis-tesis dalam bahasa Melayu itu tentunya terpaksa dirujuk oleh para penyelidik atau pelajar yang ingin mengetahui ilmu berkenaan lebih terperinci lagi.

Kita juga telah melahir ratusan sarjana yang karya dan reka cipta sains atau teknologinya bertaraf dunia sedangkan pendidikannya dahulu dalam aliran Melayu. Kejayaan dan pencapaian ini bukan hanya terdiri daripada satu kaum sahaja. Pernahkan kita dengar cerita sebegini 30 tahun atau lebih dahulu semasa sistem pendidikan kita beraliran Inggeris?

Dongengan bahasa Inggeris sebagai bahasa S &T nampaknya semakin kukuh terpahat dalam minda para pemimpin besar-besar UMNO yang terserkap itu kerana teknologi maklumat dan isinya dan perisiannya yang begitu ketara dalam bahasa Inggeris. Lantas, dalam kecitaannya terhadap bahasa Inggeris, dalam keinginannya dan keseronokannya untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa bekerja hariannya (yang bertentangan dengan yang berlaku di negara-negara maju), mereka mencipta cerita dongeng pertama ini.

Sedangkan dasar bahasa di negara-negara maju itu tidak berubah. Tiada dasar pengInggerisan sekolah di negara-negara maju itu seperti semua sekolah dijadikan sekolah aliran Inggeris atau mengajar S & T dalam bahasa Inggeris sahaja. Memang “Malaysia boleh”! Dalam hal ini UMNO ditonjolkan oleh media massa UMNO sebagai benteng dan penyelamat bangsa/bahasa Melayu dengan menolak sekolah aliran Inggeris yang digembar-gemburkan. Entahkan orang UMNO sedar atau tidak akan hakikat sebenarnya bahawa penolakan itu tidak relevan kerana sekolah kita menjadi sekolah aliran Inggeris sebaik sahaja Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris.

Kenapa tidaknya! Dengan ini hanya bahasa Melayu sahaja yang tidak dalam bahasa Inggeris kerana mata pelajaran sekolah rendah hanya Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Melayu (dan Kefahaman Bahasa Melayu)!

Satu hal yang mungkin para pemimpin UMNO tidak sedar kesilapannya, atau pejam mata sahaja, dengan mengatakan bahasa Inggeris sebagai bahasa S & T (peringkat sekolah) ialah betapa S & T peringkat sekolah asalnya bukan dalam bahasa Inggeris tetapi bahasa Arab. Kenapa tidak diajar dalam bahasa Arab?

Suatu perkara lagi yang mungkin sekali tidak disedari oleh para pemimpin besar-besar UMNO yang nampaknya beriya-iya mentakhtakan bahasa Inggeris dan meminggirkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan S & T di Malaysia ini ialah betapa bahasa komputer bukannya bahasa Inggeris, walaupun dipengaruhi oleh bahasa Inggeris. Sebab itulah orang Inggeris sekalipun tidak banyak yang faham bahasa komputer. Bapa bahasa komputer bukannya orang Inggeris atau orang yang berpendidikan aliran Inggeris! Kini pun pakar bahasa komputer dalam dunia ini bukannya orang berbahasa Inggeris sahaja!

Yang lebih penting dalam S & T ialah daya pengaryaan dalam S & T. Daya pengaryaan atau penciptaan seseorang terbukti saban tahun, malah saban bulan, bukan dari kalangan orang yang berbahasa Inggeris sahaja, malah pencipta dari mereka yang berbahasa Inggeris bukannya lebih hebat pun! Lihat sahaja ciptaan dari Jerman, Perancis, Itali(a) dan Jepun. Bahasa-bahasa negara maju bukan bahasa Inggeris ternyata sering tidak kurang berdaya pengaryaannya sebagaimana yang sering dibuktikan oleh negara-negara maju bukan berbahasa Inggeris itu.

Bahasa Melayu memang telah menunjukkan potensinya yang besar menjadi bahasa pencetus daya pengaryaan yang bitara (unik). Kenapalah UMNO beria-ia mahu meminggirkannya malah mematikannya pula? Bukankah ini suatu pengkhianatan?!

Dalam dogengan di atas telah dibicarakan dongengan pertama tentang persepsi masyarakat kita terhadap bahasa, terutamanya para pemimpin besar-besar UMNO, iaitu kononnya bahasa Inggeris ialah bahasa S & T. Dongengan bahasa berikutnya mungkin lebih popular dan mengakar di kalangan masyarakat kita terutamanya disebabkan oleh sikap para pemimpin kita terhadapnya.





Dongengan kedua: Peranan bahasa nasional dalam sesebuah negara-bangsa hanyalah mungkin sebagai identiti bangsa sahaja, dan barangkali sebagai penyepaduan rakyat jelata yang berbilang kaum seperti di Malaysia itu.


Bahasa nasional tiada kena-mengena dengan pembangunan S &T. Bahagaian pertama dongengan ini ialah kerana perkataan “MUNGKIN” dan “BARANGKALI” itu. Sebenarnya ketiadaan dua perkataan ini sudah pun hampir diterima umum di Malaysia kerana itulah yang lumrah, dan memang wajar, diperkatakan sejak Malaysia “merdeka”, iaitu perpaduan dan identiti bangsa menerusi bahasa kebangsaan, bahasa Melayu, bahasa Malaysia. Tetapi oleh sebab beberapa kenyataan dan dasar negara kita tentang bahasa pun semakin longgar, dan peristiwa huru-hara berlaku di negara jiran, serta ditambah pula dengan bahagian kedua dongengan ini semakin mencengkam jiwa rakyat, maka dongengan bahagian pertama pun semakin goyang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pendirian sewel dan menyeleweng para pemimpin kita seperti “Apalah gunanya kita taasub dengan bahasa kita sedangkan S & T dalam bahasa lain dan kita merempat miskin”, “tidak mampu kita memindah semua S & T itu ke dalam bahasa kita”, dan sebagainya telah pun semakin melunturkan kepercayaan rakyat kepada peranan bahasa nasional sebagai identiti bangsa dan penyatuan bangsa itu.

Tetapi bukankah negara maju S & T itu memang taasub dengan bahasanyanya, jika taasub itu bermaksud sentiasa mahu menggunakan bahasanya sendiri? Bukankah tiada negara yang merempat miskin yang dasar pendidikannya beraliran bahasanya sendiri? Bukankah negara yang tidak menggunakan bahasa nasional sendirilah (dalam dasar pembangunannya) yang miskin? Negara maju yang manakah yang tidak berindustri penterjemahan? Negara maju yang manakah yang hendak memindah semua S & T dalam bahasa sendiri? Kenapa kita tidak mahu mengikuti ciri-ciri negara maju ini?

Tukang palu kertuk dan gong pemimpin yang berpendapat bahasa bukan nasional lebih berkesan menjadi bahasa penyatu di Malaysia kerana kononnya terbukti pada zaman sebelum pendidikan dalam aliran bahasa nasional di Malaysia wujud, memang nampaknya semakin banyak dan lantang!

Huru-hara yang berlaku di Indonesia, sebuah negara yang terkenal dengan pegangan dasar bahasa nasionalnya yang serumpun dengan bahasa rasmi negara Malaysia, dijadikan contoh yang ampuh dan menggembirakan golongan ini tentang betapa bahasa nasional tidak menjamin perpaduan! Harapan mereka ialah dengan contoh ini mudahlah Malaysia mempertahankan gaya pemerintahan yang liberal tentang bahasa, dan mempertahankan penghayatan bahasa Inggeris yang luar biasa di sektor swasta sehingga ke tahap yang menghina atau memelaratkan bahasa Melayu, malah mewajarkan pula penukaran dasar bahasa kebangsaannya di sektor pendidikan sekalipun kepada dasar bahasa Inggeris seperti yang begitu ghairah dilakukannya sekarang. Sekaligus mereka menonjolkan betapa lebih baiknya kita membina identiti kita dan bersatu padu dalam bahasa Inggeris sahaja.

Tentang dongengan sesuatu bahasa nasional tiada kena mengena dengan pembangunan S &T sesuatu bangsa memang tidak akan diinsafi oleh sesiapa sahaja yang tidak menyedari atau tidak mahu mengetahui dan mengambil pengajaran daripada asal-usul sesuatu “penemuan baru S & T” sepanjang zaman dan bagaimana negara atas angin sekarang menjadi maju serentak dengan bahasa nasional masing-masing. Ini telah dibicarakan dalam dongengan pertama.

Ringkasnya, bahasa nasional negara-negara yang maju sekarang itulah yang menjadikan negara itu maju S & T, bukannya negara itu maju S & T dalam bahasa lain dahulu kemudiannya baru bahasa nasionalnya menjadi maju. Kemajuannya berlaku serentak. Cara inilah yang sedang kita lalui sebelum 2003 ini.


Dongengan ketiga: Kejayaan pembudayaan S &T (sains & teknologi) bergantung kepada kejayaan penguasaan bahasa Inggeris.

Lagi sekali, dongengan ini menjadi cerita benar kepada sesiapa sahaja yang cetek dan tidak mahu tahu tentang sejarah kecendekiawanan bahasa-bahasa ilmu negara maju, khususnya sejarah bahasa dan S & T Inggeris itu. Pembudayaan S & T bermakna penyebar-luasan S &T, pemesraan S & T , penyerasian S & T dengan kebudayaan dan pandangan alam sesuatu bangsa yang ingin memiliki S & T, dan akhirnya pemilikan sendiri S & T.

Jika demikian maknanya pembudayaan, di mana mantik/lojiknya pandangan dalam dongengan di atas? Kejahilan yang amat tentang kejayaan pendidikan S &T dalam bahasa nasional negara maju, dan di Malaysia sendiri juga sejak dasar pendidikan beraliran bahasa nasional dalam masa 30 tahun ini, menyebabkan dongengan ini kukuh bertakhta. Sudah ratusan ribu anak bangsa Malaysia (Melayu dan bukan Melayu) keluaran universiti aliran bahasa nasional yang mampu memajukan negara selama ini, dan di UKM, universiti di Malaysia yang menjadi perintis pendidikan dalam aliran bahasa nasional Malaysia, telah melahirkan hampir ribuan tesis sarjana dan doktor falsafahnya dalam S & T dalam bahasa nasionalnya dan sekaligus telah mengantarabangsakan bahasa nasional Malaysia kerana sarjana dunia akan merujuk tesis itu apabila mereka berminat untuk mengetahui perincian penemuan-penemuan S & T daripada sarjana berkenaan yang telah menghebahkan matannya itu dalam persidangan dan makalah di antara bangsa.

Yang sepatutnya lebih mengagumkan lagi ialah betapa sudah ratusan perkataan dalam bahasa nasional Malaysia dan nama-nama orang dan tempat di Malaysia kini sudah muncul sebagai istilah-istilah sains yang asli antarabangsa (bukan terjemahan) kerana sarjana-sarjana Malaysia (yang menghayati bahasa nasionalnya) menciptanya buat pertama kalinya menerusi keperluan ilmu yang diterokainya.

Dengan ini juga sudah tentu memudahkan lagi pembudayaan sains di Malaysia dan Alam Melayu ini amnya. Sekaligus semua ini menyangkal dongengan yang dibicarakan di sini, malah jika para pemimpin UMNO bersabar, bahasa Malayu memang akan dapat menjadi satu daripada bahasa ilmu dunia. Tetapi kini mereka mahu/telah membunuhnya di tengah jalan dan waktu suklapaksa ketika malam bulan purnama! Bukan zalimkah ini?


Dongengan keempat: Bahasa nasional negara membangun bukan faktor genting dalam pembudayaan S &T.

Dongengan ini masuk dalam hati perut pemimpin dan elitis negara membangun khususnya Malaysia sebagai benar kerana mindanya yang terserkap dalam buluh-nibong-rotan Inggeris sahaja. Mungkin sekali mereka ini juga tidak berpeluang untuk memahami makna pembudayaan S&T yang sebenar yang ada hubungan dengan pencernaan S &T dalam sistem pemikirannya yang serasi dengan kosmologi dan pandangan alam bangsanya, khususnya anak bangsa Malaysia yang komponen utamanya ialah menerusi bahasa nasionalnya.

Inilah inti pati daripada “bahasa jiwa bangsa” yang malangnya sengaja disanggah oleh para pemimpin UMNO dengan mantik songsangnya seperti “bangsa jiwa bahasa”. Tidaklah mereka insafi betapanya retorik para pemimpin Malaysia untuk menjadikan Malaysia ini maju dalam acuannya sendiri akan kekal menjadi angan-angan sahaja jika dongengan ini bertapak kuat menjadi kenyataan dasar negara. Malah tiada negara maju dahulu, kini dan selamanya yang dibangunkan menerusi bukan bahasa nasionalnya.

Lihatlah ke Timur dan ke Barat; Utara atau Selatan. Bahasa nasional negara memang faktor genting dalam pembudayaan S &T. Memang sudah terbukti tiadanya pembudayaan S & T berlaku di sesebuah negara itu jika, antara lainnya, bahasa nasionalnya tidak dijadikan bahasa pembangunan dalam sektor yang penting seperti pendidikan.


Dongengan kelima: Bahasa nasional negara membangun menjadi faktor pembantut penguasaan sains & teknologi (S &T).

Ini hanya prasangka buruk, buta mata hati atau tulinya para pemimpin dan elitis negara membangun sahaja dengan melupakan hakikat kejayaan yang luar biasa Malaysia dalam masa sekitar 30 tahun dengan dasar bahasa nasional yang tegas dalam pendidikannya. Malangnya dongengan inilah yang digunakan bagi menentukan dasar bahasa di sektor-sektor yang lain yang berpengaruh seperti sektor swasta, termasuk sektor pendidikan swasta di Malaysia sepanjang masa tetapi terutamanya pada akhir-akhir ini, sehingga prasangka ini nampaknya semakin mudah menjadi pegangan orang.

Namun, kejayaan negara-negara maju memang tetap mendongengkan pernyataan di atas sepanjang zaman. Negara maju yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pembangunannya hanyalah negara maju Anglo-Saxon (U.Kingdom, Ireland, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand). Negara maju yang lain semuanya membangun dengan bahasa nasional masing-masing, walaupun negara tersebut memang mengakui juga keantarabangsaan bahasa Inggeris.


Dongengan keenam: Bahasa nasional negara membangun bergantung pada nasib S &T bangsa berkenaan, atau sedap cakapnya “maju bangsa majulah bahasa”.

Ini pepatah orang-orang yang berkuasa dan bersedap-sedap cakap para pemimpin negara membangun. Jika bahasa asing (Inggeris itu umpamanya) yang digunakan sepanjang masa dalam pendidikan, dalam urusan penting yang lain atau kehidupan bekerjanya, bagaimanakah bahasa nasional itu boleh tiba-tiba turut berkembang?

Tidakkah mahu dilihatnya betapa kuatnya dongengan ini menerusi telatah anak bangsanya yang “dianggap berjaya (maju)” dalam bahasa dan budaya Inggeris itu sahaja?

Bukankah orang-orang ini rata-rata berasa kekok, jengkel dan kadang kala menghina bahasanya sendiri dengan pelbagai gaya kerana mereka tidak pernah menggunakan bahasanya kecuali semasa bercakap di pasar-pasar lambak, dengan buruh kasar, drebar atau jaga (pegawai keselamatan) sahaja!

Lagi pun di manakah adanya contoh bangsa yang maju (S & T, malah ekonomi pun) dalam bahasa lain dahulu kemudian bahasanya menjadi maju (bahasa S & T)?


Dongengan ketujuh: Peranan bahasa di semua peringkat S &T adalah sama sahaja tidak seperti bidang sastera.

Dongengan ini mudah diterima umum kerana pengguna rendah S & T seperti di negara membangun seperti Malaysia tidak sampai kepada tahap komunikasi makna dan maksud, serta bahasa sebagai rakaman fakta dan pengantar teori yang akan lebih menampakkan lagi keserasian tidaknya dengan budaya dan sistem nilai sesuatu bangsa penggunanya. Dongengan ini didendangkan untuk memudahkah pelaksanaan dasar mengInggeriskan pendidikan S & T di semua peringkat pendidikan di negara kita ini.

Hujahnya mudah sahaja: “bahasa tidak berperanan apa-apa dalam S & T; jadi apa salahnya kita mendidik anak-anak kita dengan S & T dalam bahasa Inggeris, sedangkan dengan itu juga pelajar kita dapat memahirkan dirinya dengan bahasa Inggeris”.

Hakikatnya, sejak kebelakangan ini banyak pihak di negara-negara maju yang ada pelbagai kaumnya semakin rancak membicarakan isu pendidikan S&T dalam bahasa-bahasa ibunda/peribumi terutamanya di peringkat rendah kerana para sarjana sudah ijmak menerima peranan bahasa ibunda/peribumi/nasional yang positif dalam pendidikan S & T.

Kegiatan ini begitu ketara berlaku di Amerika dengan masalah kaum Hispanik di Amerika Syarikat dan peribumi Amerika Selatan. Dalam hal ini pendirian MCA dan MIC mempertahankan penggunaan bahasa ibunda ahli-ahlinya dalam pendidikan S & T di sekolah Rendah masing-masing, dan dipersetujui kerajaan, memang wajar, walaupun masing-masingnya mungkin berhujah yang berbeza seperti satunya demi pemiliharaan kebudayaan masing-masing dan satu lagi demi politik.

Tetapi semua ini tentunya tidak diendahkan oleh para ahli UMNO! Mungkin sudah ada ahli atau orang UMNO yang mengatakan ” biarlah MCA dan MIC tak mahu bahasa Inggeris, biar dia tak maju; kita nak orang Melayu maju dan lebih maju daripada mereka!” Ketaksubannya dengan bahasa Inggeris yang dikaitkan dengan kemajuan orang Melayu amat luar biasa dan tiada siapa yang dapat mengubahnya melainkan apabila lahirnya Hang Jebat dengan cukup ramai di istananya.


Dongengan kelapan: S & T neutral sifatnya, khususnya tiada hubungannya dengan Islam dan Islam tiada hubungan dengan bahasa nasional selain daripada bahasa Arab.

Retorik tentang keneutralan S &T dilakukan sepanjang masa (dalam buku teks dan media massa). Dongennya pendapat ini telah lama terbukti kerana dalam dunia kefahaman ilmu (epitemologi), tidak neutralnya S & T sudah diterima umum sejak Kuhn dan para sarjana Islamis memberi hujah-hujah yang tidak dapat dipatahkan lagi itu sejak 1960-an lagi! Di Malaysia, hubungan Islam dengan bahasa Malayu memang terkenal tetapi dihakiskan dengan hebatnya dengan penubuhan universiti Islamnya dalam aliran Inggeris sejak 20 tahun dahulu, dan kini dengan pewujudan beberapa buah universiti swasta lain lagi yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia sendiri dan diterajui oleh orang Islam tetapi sengaja tidak mahu menggunakan bahasa nasional.

Kepercayaan kepada dongengan inilah yang menjadikan sesiapa pun senyap atau pantas menyokong sahaja dasar penghakisan atau peniadaan sistem pendidikan aliran bahasa nasional masing-masing negara bawah angin dan mewujudkan atau mengukuhkan sistem pendidikan dalam aliran bahasa S & T semasa sahaja (bahasa asing atau bahasa negara maju yang lain!)


Dongengan kesembilan: Orang Malaysia, khususnya peribuminya, akan lebih ramai menguasai bahasa Inggeris dan sains dan teknolohi (S & T), malah boleh mengatasi bukan peribumi apabila S&T diajar dalam bahasa Inggeris atau sekolah aliran Inggeris diwujudkan.


Ini betul-betul dongengan ciptaan orang-orang yang lemah mantiknya/fikirannya. Kedongengan ini pun dibuktikan oleh Negara-Negara Membangun atau atau Negara Ketiga yang semuanya berpegang kuat kepada pendapat ini. Lihat sahaja negara-negara ini yang berpegang kepada fahaman atau dongengan ini, termasuklah beberapa buah negara jiran kita (Filipina dan Brunei) atau yang jauh sedikit, negara India, Pakistan….. dan senarainya agak panjang. Sejauh manalah lebih ramai ahli S & T dan/atau majunya negara-negara ini dalam S &T berbanding dengan negara kita atau negara jiran kita yang lain yang sistem pendidikan dalam bahasa nasional masing-masing?

Sebuah negara jiran kita, Singapura, yang menjadikan Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa pembangunannya seringlah dijadikan contoh sebaliknya kerana negara itu terkaya di rantau negara bawah angin ini. Ini mungkin harapan besar para pendokong dongengan ini. Tetapi sehingga kini, tahap kemajuan di Singapura itu pun tidak juga lebih baik pencapaian S & T-nya berbanding dengan negara lain yang mengamalkan sistem pendidikan berbahasa nasionalnya sendiri termasuklah Malaysia selama ini?

Apakah sumbangan S & T dari Singapura itu yang hebatnya, lebih-lebih kali kalau diambil kira bangsa peribuminya yang sama dengan bangsa peribumi Malaysia? Singapura kaya berbanding dengan negara-negara membangun lain bukan kerana S & T-nya.

Pendeknya, kaya wang tidak semestinya kaya S & T tetapi sebaliknya sentiasa benar! Bahasa Inggeris bukan bahasa penentu kekayaan S & T bagi sesuatu bangsa bukan Anglo-Saxon. Bahasa Inggeris sebagai bahasa penentu kemajuan S & T hanya dongeng semata-mata.


Dongengan kesepuluh: Rakyat Malaysia yang berbilang kaum itu lebih mudah berintegrasi apabila aliran Inggeris diwujudkan semula sebagaimana kononnya yang berlaku dahulu.

Ini pun satu nostalgia tidak berasas dan perasaan ego dan berpusatkan diri bagi orang-orang yang hidup sejak zaman sistem pendidikan Kebangsaan Malaysia.

Andaiannya, orang beriteraksi antara kaum di Malaysia ini lebih mudah berlaku dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Anggapan lainnya, kaum-kaum di Malaysia ini lebih banyak peluang berinteraksi menerusi sekolah beraliran Inggeris. Apa buktinya? Pelajar-pelajar Malaysia kini sebenarnya jauh lebih ramai dan lebih mudah berinteraksi antara kaum berbanding dengan zaman sekolah aliran Inggeris dahulu.

Cuma mereka menggunakan bahasa Melayu. Memang rata-rata mereka lebih selesa berinteraksi dalam bahasa Melayu sahaja. Apa salahnya? Ini ciri-ciri negara maju. Di negara maju semua rakyatnya berkomunikasi sesama mereka rata-rata dalam bahasa mereka sahaja. Kenapa hendak rakyat Malaysia berinteraksi dalam bahasa Inggeris?

Model negara maju manakah yang rakyatnya rata-rata berinteraksi dalam bahasa asing (bukan bahasa nasionalnya)? Hakikatnya kelemahan peribumi Malaysia dalam sekolah-sekolah aliran Inggeris dahulu amatlah ketara, dan hanya beberapa kerat sahaja peribumi yang berjaya lama berada di sekolah aliran Inggeris itu. Ini menjadi amatlah sedikit peluang pelajar berinteraksi antara kaum. Pelajar sekolah Malaysia di bawah sistem pendidikan peribuminya ternyata membuka peluang bersaling tindak yang jauh lebih luas dan hebat antara pelbagai kaum kerana ramainya peribumi Malaysia menjejak ke bangku sekolah lebih lama hingga ke universiti.


Nota: Tulisan ini termuat pertama kali di ASASAINS, warkah Berita ASASI, bil. 2/1996 & 1/1997.









22 Mac 2009
04.30 petang
Kampung Pinang, Kamunting, Perak Darul Ridzuan

Catat Ulasan

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget